Jumaat, Disember 10, 2010

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan lanjutan kepada entri Apa Itu Teknik KJ? (KJ Method).

Sekiranya Tuan/Puan belum membaca entri itu, penulis mengalakkan Tuan/Puan membacanya terlebih dahulu. Hal ini akan memudahkan lagi kefahaman terhadap entri berikutnya ini.

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan satu strategi menulis sebuah cerita/novel yang penulis gabungkan melalui bengkel Teknik KJ dan pembacaan buku-buku panduan menulis fiksyen yang lain. Jika para pembaca merasakan strategi ini sangat tidak logik dan boleh mendatangkan kesukaran, maka ubahlah bahagian-bahagian yang dirasakan perlu agar formula ini sesuai untuk diri masing-masing.

Andaikan kita mahu menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan (60 hari). Fiksyen yang mahu kita tulis pula setebal 400 muka surat.

Anggarkan bilangan babak/peristiwa (scene) yang mahu kita tuliskan dalam novel itu. Pemilihan babak/peristiwa bertujuan memudahkan novel kita dijadikan filem/drama/teater di masa hadapan.


Katakan kita memilih 60 peristiwa berbeza.

Dapatlah kita anggarkan dalam setiap peristiwa, anggaran muka surat ialah 6 - 7 muka surat. Dengan jumlah ini, kita dapat menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan. Setiap hari, kita perlu menulis 6 - 7 muka surat sahaja (1 peristiwa).

Bagaimana Mendapatkan 60 Peristiwa Ini?

Keluarkan 60 kad indeks berbeza dan tuliskan satu peristiwa bagi setiap kad, sehingga cukup 60 kad. Contohnya, pada kad pertama, watak hero menaiki kapal terbang dan terjumpa bekas tunangnya di dalam penerbangan itu.

Kad kedua pula mewakili peristiwa perbualan hero dan bekas tunangnya itu. Kad ketiga pula menunjukkan hero sudah sampai ke destinasi dan terus menuju ke hotel.

Teruskan menulis 60 peristiwa sehingga selesai. Peristiwa ini tidak semestinya melibatkan watak utama sahaja. Ia juga boleh melibatkan watak sampingan, watak antagonis, watak protagonis yang lain. Usah fikirkan logik dan kronologi peristiwa-peristiwa ini.

Tulis sehingga siap.

Susun Kad Indeks

Aturkan 60 kad indeks ini di hadapan kita. Susunkan kembali semua kad ini mengikut cerita yang kita mahukan. Susunannya tidak sama seperti yang asal. Mungkin kad pertama sekarang adalah penampilan watak hero sebelum beliau menaiki kapal terbang terbabit. Kad kedua pula mungkin memperkenalkan watak heroin dari situasi lain pula.

Contoh susunan kad indeks (Source)

Setelah selesai, bolehlah disalin ke dalam komputer. Untuk setiap satu babak, gunakan satu fail. Di dalam komputer kita kini, sudah ada 60 fail berbeza.

Apabila menulis kelak, pilihlah mengikut kesukaan hati sendiri pada hari terbabit. Tidak semestinya menulis mengikut susunan fail.

Kaedah KJ memudahkan kita mengalirkan kreativiti dan menumpaskan fenomena 'writers block' kerana penulis sudah merancang penulisannya terlebih dahulu, walaupun susunannya tidak linear.

Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen.

Isnin, Disember 06, 2010

Apa Itu Teknik KJ? (KJ Method)

Ketika menghadiri bengkel KJ Method kelolaan PTS baru-baru ini, kami didedahkan dengan sejarah teknik KJ dan aplikasinya kepada penulis. Teknik KJ adalah satu teknik berfikir untuk menyelesaikan masalah secara kreatif. Teknik ini mengambil singkatan kepada nama penciptanya, Kawakita Jiro. Beliau merupakan seorang tokoh kreativiti Jepun.

Apabila kita menyelesaikan sesuatu masalah, kita tidak semestinya perlu mengikut aturan berfikir linear dan logik yang ketat seperti kebiasaannya. Namun, bidang-bidang seperti Matematik sememangnya memerlukan teknik berfikir secara linear.

Dengan menggunakan KJ Method, kita dapat melontarkan cadangan penyelesaian dari mana-mana aturan yang kita mahu. Contoh seterusnya memudahkan pemahaman kedua-dua teknik berfikir ini.

Arahan : Senaraikan pakaian, objek, dan apa sahaja yang terlintas dalam minda Tetuan apabila melihat gambar di bawah ini :


Apabila menggunakan teknik berfikir logik dan linear, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Rambut perang gelap, pemuda Inggeris, baju lengan pendek berwarna putih, seluar denim, kasut dan gitar.

Apabila menggunakan teknik berfikir KJ, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Seluar denim, gitar, rambut, baju berwarna putih dan seterusnya.

Perbezaan kedua-dua sampel jawapan ini adalah pada cara jawapan/idea dilontarkan. Teknik KJ membolehkan kita melontarkan idea secara rawak tanpa perlu terikat kepada susunan/logik.

Kebaikan berfikir secara KJ adalah kreativiti tidak tersekat dan sentiasa ada banyak pintu masuk dalam mencari penyelesaian.

Apabila menggunakan teknik berfikir linear pula, jika kita buntu mencari idea hanya kerana tidak dapat mengenalpasti sesuatu perkara, seluruh aktiviti berfikir terhenti.

Natural kepada manusia

Teknik KJ adalah teknik berfikir natural sejak kecil. Kita sering melihat seorang kanak-kanak jika bermain, tidak memikirkan peraturan dan aturan untuk bermain.



Jika kita berikan permainan di atas kepada seorang kanak-kanak. Seketika kemudian, kita tunjukkan robot di atas kepadanya dan pinta dia membina robot itu menggunakan permainan itu.

Kebiasaannya, mereka akan mencuba dan mengambil apa sahaja peluang yang boleh untuk membina robot itu. Tiada aturan tertentu. (KJ Method)

Tetapi, orang dewasalah yang memberikan aturan kepada mereka supaya memasang bahagian badan terlebih dahulu, kemudian kepala, tangan dan sebagainya. (Linear)

Teknik KJ tidak menyekat kreativiti, justeru ia boleh diaplikasikan oleh para penulis untuk kerja-kerja penulisan.

Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen dan KJ Method untuk buku fiksyen.

Nota : Bacaan lanjut berkenaan teknik ini : http://www.mycoted.com/KJ-Method

Sabtu, Disember 04, 2010

Pembinaan Profil Peribadi Karakter

Bacaan dan kajian ringkas menerusi internet dan buku-buku mendapati watak yang kuat dan 'hidup' menjadi kegemaran para pembaca. Hal ini juga dapat kita lihat dalam filem-filem, animasi mahupun teater. Watak memainkan peranan penting dalam memikat hati pembaca.

Watak Harry Potter (Penulis : JK Rowling), Kumpulan Wannababes (Penulis : AinMaisarah); menjadi contoh bagaimana karakter membawa bersama brand penulis, juga menjadi medium yang mengikat sekelompok pembaca dengan seseorang penulis.



Watak Jack Sparrow dalam filem Pirates of the Carribean.

Salah satu perkara yang dapat saya catatkan daripada senior-senior penulis yang lain ialah profil peribadi watak/karakter novel. Berikut ialah beberapa perkara penting yang boleh kita gunakan dalam membina profil peribadi setiap watak-watak utama kita. Untuk watak tambahan dan sampingan, profil lebih ringkas boleh digunakan.

Walaupun novel kita tidak menampilkan figura karakter tersebut, ia masih berguna ketika kita menjana imaginasi untuk penulisan. Ia juga berguna jika novel kita diadaptasi menjadi sebuah filem/drama/teater/animasi.

Watak Rebecca Blomwood dalam novel nukilan Sophie Kinsella.

Simpan kesemua data ini dalam satu fail untuk rujukan apabila diperlukan kelak.

  • Nama
  • Umur
  • Tinggi/Berat
  • Bentuk badan
  • Pakaian (pakaian kebiasaan watak)
  • Warna rambut dan gaya rambut
  • Kelainan pada wajah watak ini (khusus kepada watak ini sahaja)
  • Habit watak (menggaru kepala, mengigit kuku, minum kopi)
  • Tagline
  • Agama
  • Bangsa/Keturunan/Etnik
  • Latar belakang pendidikan
  • Latihan istimewa selepas tamat pendidikan
  • Pekerjaan
  • Pekerjaan terdahulu
  • Skil/Kelebihan
  • Jenis personaliti
  • Kekuatan
  • Kelemahan
  • Marah, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi rasa marah ......
  • Malu, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi perasaan malu ......
  • Takut, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi perasaan takut ......
  • Falsafah kehidupan
  • Penyakit
  • Hobi
  • Makanan kegemaran
  • Buku kegemaran
  • Warna kegemaran
  • Sahabat baik
  • Sejarah keluarga
  • Penerangan mengenai tempat tinggal, keluarga dan status ekonomi
  • Impian watak
Senarai ini berubah-ubah bergantung kepada keperluan penulis dan cerita yang mahu dinukilkan.

Semoga bermanfaat.