Khamis, Ogos 18, 2011

Blog Ini Sudah Berpindah

Blog ini sudah dipindahkan kepada blog baru : http://malinajnovelis.blogspot.com

Bertemu kita di blog baru! :)

Rabu, April 27, 2011

Kreativiti dan Buku

Sebagai seorang penulis, setiap buku yang kita beli, mempunyai tujuan tertentu. Ada waktu kita membeli buku sebagai rujukan, memperkayakan bahasa, mendapatkan idea, adaptasi dan lain-lain.

Minggu ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di PWTC. Penulis berkunjung beberapa kali ke sana tetapi masih tidak membawa pulang buku-buku ke rumah. Alhamdulillah, penulis menerima sebuah buku terjemahan secara percuma daripada penterjemahnya. Kemudian, penulis membeli beberapa naskah Tunas Cipta buat bacaan.

Selain itu, penulis juga bertemu dengan rakan-rakan penulis lain, mentor, mengunjungi booth penulis semuanya bertujuan mengumpul semangat kerja. Tidak ketinggalan, mengikuti bicara buku dan forum yang dianjurkan.


Alhamdulillah, penulis juga berkesempatan mengikuti sesi bual bicara bersama penulis novel Negeri 5 Menara ini. Benar menginspirasikan dan belajar banyak perkara daripada beliau. Menulis sebagai satu pengabdian. Kelak, penulis akan menghasilkan satu entri khusus berkaitan program tempoh hari.


Mengapa Penulis Tidak Membeli Buku di PBAKL?

Semalam, penulis blog ini mencatat menerusi ruangan status Facebook:

Apabila ada had/syarat diberikan kepada diri sendiri dalam sesuatu perkara, daya kreatif juga meningkat. Jika tiada nasi di dapur, kita mesti mencari makanan lain sebagai alternatif. Memilih untuk tidak makan juga adalah satu alternatif. Kita memilih untuk survive dalam syarat/ketetapan yang wujud.

Penulis merenung ke dalam almari buku peribadi dan melihat betapa banyaknya buku-buku yang belum habis disemak, dibaca dan dimanfaatkan isinya. Malahan, sebelum PBAKL bermula, penulis sudah 'berpesta' buku lebih awal sebagai meraikan semua urusan manuskrip selesai. Justeru, penulis mengambil keputusan bagi menggunakan rujukan sedia ada dan menghasilkan buku.

Itulah cabaran terhadap diri sendiri. Cabaran yang diambil bagi menolak diri lebih serius dalam penulisan. Sehingga penulis selesai menulis sebuah buku baru, barulah penulis akan menghadiahkan diri dengan sebuah buku baru. Sehingga itu, buku-buku sedia ada akan digunakan semaksimanya.

Semoga cabaran ini dilaksanakan sebaiknya. Amin.

Isnin, April 11, 2011

Entri Bullet Point

Kadang, penulis mempunyai sedikit ruang waktu bagi menulis entri blog masing-masing. Kebanyakan masa digunakan bagi merancang projek penulisan seterusnya, di samping meneruskan kerja penulisan sedia ada.

Penulis buku, Tuan Zamri Mohammad menyarankan penulis menggunakan status Facebook sebagai kemas kini blog. Tuan Zamri menulis menerusi ruangan Facebook beliau,

Jadikan ruangan status dan foto yang diupload sebagai pecahan-pecahan entri yang akan digabungkan dalam blog untuk pembaca di sana.

Facebook Tuan Zamri Mohammad : http://www.facebook.com/zamrimohamad

Berikut adalah entri bullet point versi blog ini.

Pesan seorang mentor bertudung hitam dan berkaca mata hitam, "Sepanjang kehidupan ini melibatkan pilihan. Kita membuat pilihan dan bertanggungjawab ke atas pilihan itu. Tidak memilih dan berdiam diri juga sebenarnya satu pilihan."

Sebagai seorang penulis, kita mempunyai pilihan sama ada menghasilkan hasil tulisan yang baik buat pembaca. Pilihan di tangan kita.

Isnin, April 04, 2011

Ebook Pertama Malina J


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, berkat rezeki ilmu, masa dan bakat, akhirnya ebook pertama Malina J sudah terbit di pasaran. Malina J adalah nama pena kepada pemilik blog ini.



Semoga dengan kelahiran ebook sulung ini memacu semangat bagi menulis lebih banyak ebook dari masa ke masa. InsyaALLAH.


Ebook ini berkaitan strategi membina blog berpengaruh. Segala yang disenaraikan di dalam ebook ini berdasarkan pengalaman bersama penulis Aqif Azizan dan Malina J.


Bagi mendapatkan ebook ini, klik pada pautan ini: http://educatticmind.com/blog-pengaruh

Ebook ini diuruskan dan diterbitkan oleh syarikat penerbit digital Educattic Mind. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penerbit ini, layari : http://educatticmind.com/

Selasa, Mac 15, 2011

Pengembaraan Hero

Penulis sempat menyalin semula bahagian ini daripada buku panduan Dummies berkaitan penulisan novel. Berikut adalah butirannya :

In the Hero With a Thousand Faces (Fontana Press), Joseph Campbell suggest that the classic mythic story - what many people, including us, call the Hero's journey - has 12 steps, which are laid out have :

  • Ordinary World - The beginning of the story.
  • Call to adventure - Something happens that require action.
  • Refusal of the call - The hero is someway unwilling.
  • Meeting with the mentor - The hero is offered support.
  • Crossing the first threshold - The journey begins.
  • Test, allies and enemies - The opposition become apparent.
  • The inner care - Getting to the point of the Hero's journey.
  • Ordeal - The Showdown
  • Reward (or seizing the sword) - After the showdown.
  • The road back - The fallout from the showdown.
  • Return with the Elixir - End of story.
Penulis berpendapat lebih mudah memahami ciri-ciri ini dengan mengambil contoh sebuah fiksyen dan mengenal pasti ciri-ciri tersebut. Antara novel yang boleh dijadikan kajian adalah Lord of The Rings.

Isnin, Februari 21, 2011

Manuskrip Buku Pertama

Pada bulan November tahun lalu, saya menulis entri ini : Due Date November 2010. Selepas beberapa kali penangguhan, penantian sudah sampai ke penghujungnya.

Alhamdulillah.

Akhirnya, penulis blog ini berjaya menyelesaikan hutang manuskrip buku pertama beliau. Sekitar jam 8 malam (semalam), penulis mengirimkan pesanan ringkas kepada seorang sahabat. Penulis memohon sahabatnya memberikan kata-kata perangsang supaya penulis terdorong menyelesaikan hutang manuskrip ini.

Sahabat penulis membalas pesanan ringkas itu dengan arahan seperti berikut : "Tulis di atas kertas 'Tempat larangan sehingga jam 1 pagi!' dan letakkannya di atas katil awak."

Penulis akur pada arahan itu dan menulis ayat itu pada sehelai kertas. Kemudian, penulis meletakannya di atas katil, tempat penulis berehat dan berbaring setiap malam. Penulis juga merakamkan fotonya sebagai bukti dan tujuan kenangan.


"Tulis di atas kertas 'Tempat larangan sehingga jam 1 pagi!' dan letakkannya di atas katil awak."

Alhamdulillah, urusan penulis dipermudahkan malam semalam dan semuanya selesai menjelang jam 12 tengah malam.

Esok, penulis akan mengirimkan manuskrip penuh kepada editor. Hari ini, penulis masih memperbaiki manuskrip dan menggabungkannya dengan hasil penulisan penulis bersama. Benar, buku ini merupakan buku tulisan bersama.

Semoga urusan kami dipermudahkan sentiasa.

Nota : Penulis akan berkongsi pengalaman sebalik tabir manuskrip ini dalam entri seterusnya.

Rabu, Februari 16, 2011

Persamaan sepuluh penulis terkaya dunia

Merujuk kepada entri Sepuluh penulis terkaya dunia, jelas mereka mempunyai kesamaan yang ketara :

1. Menghasilkan buku yang banyak.
2. Rutin penulisan yang ketat.


Seorang penulis perlu mewujudkan masa menulis dan menjadikannya rutin. Dari masa ke masa, penulis perlu menghasilkan buku yang banyak. Hasil jualan berulang kali, berganda, berkali lipat akan menghasilkan keuntungan yang banyak.

Sepuluh penulis terkaya dunia

Sepuluh penulis terkaya dunia
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/15

Karya mereka diterjemahkan ke bahasa asing, difilemkan

KERJA menulis sebenarnya memberi pulangan lumayan jika kena pada caranya dan apatah lagi jika novel seseorang pengarang itu berjaya menduduki carta jualan laris di pasaran sehingga difilemkan pula.

Walaupun mungkin ada sebahagian penulis menyifatkan karya seni bukanlah berbumbukan wang atau ‘aku menulis bukan kerana nama’, namun pulangan yang lumayan menjadikan ramai penulis terutama di luar negara meletak jawatan dan memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Meskipun ketika ini versi buku dalam talian (e-book) menjadi pilihan sesetengah pembaca, namun buku yang dipasarkan dalam bentuk kulit keras atau paper-back tetap menjadi pilihan, apatah lagi jika buku terbabit diadaptasi ke filem.

Buku dalam kategori sedemikian bukan saja menambah publisiti kepada penulisnya, tetapi juga tambahan imbuhan dan penulis yang termasuk dalam senarai terbabit terkaya mendapat perhatian daripada majalah Forbes seperti berikut.

1. James Patterson

MEMILIKI 51 buku tersenarai dalam carta laris di pasaran dan penulis ini dianggarkan memiliki simpanan berjumlah RM210 juta, sebenarnya berkerja keras untuk kedudukan itu dengan memastikan dua novel lahir setahun bagi memastikan pembaca kekal bersamanya.
Uniknya, Patterson fobia komputer dan menyiapkan novelnya dengan tulisan tangan sehingga mengagumkan dunia kesusasteraan dengan keupayaannya menghasilkan pelbagai genre dari komedi, romantik, thriller selain karya bukan fiksyen.

Suatu lagi hakikat yang boleh menyebabkan ramai pengarang untuk berasa iri hati atau ‘bunuh diri’ ialah 17 karyanya kebelakangan ini membolehkan Patterson meraih RM300 juta.

2. Stephenie Meyer

TAHUN lalu, Meyer berjaya memperoleh RM120 juta walaupun dia tidak menghasilkan apa-apa buku kerana sejak 2005 apabila kisah cinta pontianaknya Twilight difilemkan, novel asalnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemahkan ke 37 bahasa.

Sebelum Siri Twilight, Meyer banyak menulis cerpen dan kemasyhuran pengarang ini disumbangkan oleh filem dalam Siri Twilight yang menjadi kegilaan di seluruh dunia sehingga penulis ternama, Stephen King pernah berkata, ‘dia tidak boleh menulis, tetapi dia berada di tangga kedua,’

3. Stephen King

‘GODFATHER’ untuk genre seram kontemporari Amerika dan sains fiksyen, King menduduki tangga ketiga dengan pendapatan RM102 juta, walaupun bertarung dengan ketagihan alkohol yang teruk selain ketagihan dadah dan ubat-ubatan yang dipreskripsi, masih kekal sebagai penulis disegani.

Dengan lebih 80 buku yang diadaptasi ke layar perak, King menerima pengiktirafan dunia atas kerja seninya, selain kerap menulis artikel di pelbagai jurnal dan majalah.

Pada 2003, King dianugerahkan Pingat Sumbangan Terbilang Kepada Dunia Persuratan Amerika sebagai tanda mengiktiraf jerih payah pengarang terbabit dalam membangunkan dunia cereka negara itu,

4. Danielle Steel

PENGARANG yang terkenal sebagai ratu untuk genre romantis mempunyai lapan novel menduduki carta laris di pasaran jualan terlaris dan tahun lalu saja, jualan keseluruhan karyanya mencapai RM96 juta.

Novelnya menduduki carta laris di pasaran di New York selama 390 minggu berturut-turut, manakala 20 lagi novelnya diadaptasi ke layar perak.

Walaupun dikritik kerana kebanyakan novelnya mengulang formula kisah cinta klise, kebanyakan pembaca masih setia dengan Steel kerana keupayaannya menulis pelbagai topik dan Steel baru-baru ini mengumumkan novel ke-71nya akan diterbitkan dalam format e-book.

5. Ken Follett

PENULIS British ini memperoleh pendapatan RM60 juta tahun lalu hasil jualan novelnya dan citranya sebagai penulis genre historikal dan thriller, membolehkan novelnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia, dengan empat daripadanya menduduki carta jualan laris di pasaran New York.

Follett muncul buat kali pertama pada 1978 menerusi novel Eye of the Needle yang mengisahkan mengenai percubaan perisik Jerman melarikan lari dari Britain, tetapi terkandas dengan sepasang suami isteri dan novel ini difilemkan pada 1981.

Kebanyakan latar tempat dalam novel Follet dekat dengan dirinya, misalnya Salisbury London, selain Antigua dan Afrika Selatan, di samping ada sesetengah lokasi dalam karyanya itu sangat penting baginya dan isteri, bekas ahli Parlimen, Barbara Follet.

6. Dean Koontz

SETIAP tahun Koontz memperoleh RM54 juta dan Koontz memiliki 44 novel dalam carta jualan laris di pasaran terlaris serta menulis pelbagai genre, sains fiksyen, seram, tetapi Koontz lebih dianggap sebagai penulis genre thriller yang berjaya.

Sebelum menggunakan nama sebenar, Koontz menulis dengan menggunakan nama samaran dan antaranya Trixy Koontz, selain hanya menggunakan nama sebenar apabila menghasilkan novel ke-35.

Dengan 16 buku yang diadaptasi ke filem dan menerbitkan buku setiap tahun, Koontz dijangka kekal berada dalam carta laris di pasaran.

7. Janet Evanovich

WALAUPUN berjaya menjual lebih 20 juta naskhah setiap tahun, Evanovich memperoleh RM48 juta tahun lalu, sebenarnya mula menulis pada usia 40 tahun dengan 16 novel Evanovich berada dalam carta jualan laris di pasaran.

Rutin penulisan Evanovich sangat ketat iaitu menulis lapan jam sehari dan 12 jam pada hujung minggu, memilih menulis dalam genre romantis, di samping khabarnya novelnya, Stephanie Plum bakal diadaptasi ke filem hujung tahun ini dengan Reece Witherspoon dan Katherine Heigl dikatakan antara calon watak utama.

8. John Grisham

BEKAS peguam ini tidak lari jauh daripada latar akademiknya dan dengan novel genre thriller kepeguaman, dia memperoleh RM45 juta tahun lalu.

Novel karya Grisham mula memikat pembaca sejak 1989 dan hingga kini 16 filem sudah dihasilkan berdasarkan drama mahkamah tulisan Grisham.

Ketika menulis A Time To Kill, Grisham memulakan rutin penulisannya bermula jam 5 pagi, namun usaha itu tidak memikat penerbit apabila naskhah awalnya ditolak, tetapi peristiwa itu tidak menyebabkan dirinya berputus asa.

Grisham kemudiannya meninggalkan kerjaya sebagai peguam dengan menjadi penulis sepenuh masa dan sehingga kini 250 juta novelnya terjual di seluruh dunia.

9. Nicholas Sparks

SPARKS adalah muka baru dalam carta laris di pasaran dan tahun lalu beliau memperoleh RM42 juta dengan dua bukunya akan difilemkan tahun ini mungkin melonjakkan kedudukannya pada tahun depan, selain enam novelnya sudah difilemkan termasuk The Notebook.

Pengarang ini memulakan kerjaya penulisan sejak 1985 ketika masih bersekolah, namun, waktu itu beliau gagal menarik perhatian penerbit.

Sparks pernah memasuki sekolah perundangan, tetapi hanya separuh jalan sebelum bekerja sebagai ejen hartanah dan menjual peralatan perubatan melalui telefon, selain The Notebook yang muncul pada 1996 benar-benar mengubah kehidupannya.

10. JK Rowling

TERKENAL dengan siri ahli sihir muda, Harry Potter, Rowling cukup mengagumkan dan pengiktirafan seluruh dunia terhadap karyanya itu memungkinkan 400 juta naskhahnya itu dijual dengan mudah.

Huruf JK pada hadapan nama Rowling sebenarnya adalah idea penerbit yang bimbang dengan kedudukan Rowling sebagai penulis wanita yang lazimnya gagal menembusi pasaran buku remaja yang dikuasai remaja lelaki.

Bagaimanapun, buku ini bukan saja memikat remaja lelaki, tetapi juga perempuan sehingga difilemkan dan menambah kekayaan Rowling, selain publisiti untuk novelnya membolehkan Rowling disifatkan sebagai seorang daripada selebriti terkaya lagi berpengaruh di Britain.

Rabu, Februari 02, 2011

Motivasi Untuk Penulis (1)

Pada awal tahun baru, ramai orang menulis resolusi dan matlamat tahun baru mereka. Penulis juga tidak terkecuali menetapkan matlamat untuk menulis sebuah buku tahun 2011 ini. Ada juga penulis yang menetapkan impian untuk menulis lebih daripada itu.

Bagaimanakah caranya untuk kita memulakan dan membangkitkan aura kerja dalam diri kita? Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dipraktikkan :


Bertemu rakan-rakan penulis

Kerjaya sebagai seorang penulis memerlukan kita meluangkan banyak masa bersendirian bersama manuskrip, lakaran idea, buku-buku rujukan, komputer dan lain-lain. Apabila kita tersekat pada pertengahan kerja penulisan, kita mungkin mengalami stress dan boleh berputus asa. Produktiviti kerja juga menurun dari masa ke masa.

Wujudkan masa untuk bertemu rakan-rakan penulis yang lain. Rakan-rakan penulis berperanan untuk menyalurkan semangat kerja. Kita juga dapat mengikuti perkembangan projek terkini mereka. Lebih menguntungkan jika ada yang mengundang kita untuk menjadi penulis bersama.


Membeli dan membaca buku

Walaupun kita beranggapan kita sudah membaca banyak buku, kita masih perlu membaca lebih dari itu. Apabila kita membaca buku baru, kita memperolehi informasi baru, belajar perkara baru, belajar gaya penulisan baru, mengetahui perkembangan industri buku dan mengkaji kehendak pasaran bermusim.

Buku-buku yang dibeli khusus untuk kegunaan penulisan, mesti digunakan sepenuhnya dan menghasilkan ROI (return of investment) yang baik.

Sumber foto : http://pawiblog.com

Disiplin menulis setiap hari

Setiap penulis memerlukan KPI (key performance index) untuk mengukur produktiviti kerja masing-masing. Sekiranya kita dapat menetapkan KPI menulis tiga muka surat setiap hari, kita dapat menghasilkan sejumlah 90 muka surat dalam tempoh sebulan. Empat bulan berikutnya, kita dapat menghasilkan sebuah novel dengan jumlah 360 muka surat.


Kerja menulis dan menyiapkan manuskrip perlu dianggap sebagai kerja menghasilkan produk. Kerjaya sebagai seorang penulis pula perlu dianggap sebagai sebuah perniagaan.

Semoga semua penulis yang membaca entri ini dapat menghasilkan lebih daripada sebuah buku tahun ini. Amin!