Rabu, September 22, 2010

Kursus Bagaimana Merancang Kejayaan Karya dalam Pasaran

Pada hari Ahad yang lalu (19.09.2010) telah berlangsung kursus Bagaimana Merancang Kejayaan Karya dalam Pasaran. Alhamdulillah, saya dapat menghadiri bengkel itu dan bertemu mentor-mentor serta penulis-penulis yang hebat. 



Berikut ialah poin penting yang dikongsikan oleh Puan Ainon Mohd :

1. Mengetahui maklumat pasaran buku. - Puan Sifu menggalakkan para penulis dan bakal penulis berkunjung ke kedai buku untuk membuat sedikit pemerhatian terhadap pasaran. Perhatikan rak-rak buku dan genre yang ada. Beliau menerangkan bahawa kunjungan beliau ke kedai buku Kinokuniya, KLCC mendapati terdapat banyak rak buku kempimpinan (Leadership) dalam Bahasa Inggeris, namun tidak dalam Bahasa Melayu. Justeru ini adalah lautan biru kepada para penulis. Dengan mengetahui keperluan pasaran, kita dapat menyediakan buku yang pasaran mahukan. Strategi ini penting untuk survival jangka masa panjang seorang penulis.

2. Memilih penerbit. - Para penulis dan bakal penulis perlu memilih syarikat penerbitan yang betul. Kajian dan pemerhatian boleh dilakukan melalui sahabat-sahabat penulis yang lain. Dapatkan maklumat mengenai syarikat penerbitan yang mahu kita sertai (sebagai penulis).

3. Mengetahui strategi bisnes penerbit. - Para penulis dan bakal penulis juga perlu mengetahui strategi bisnes penerbit yang mereka pilih. Untuk memenuhi keperluan ekonomi penulis, lebih baik jika kita menyertai syarikat yang menerbitkan buku berdasarkan permintaan pasaran. Buku-buku dapat dijual, penulis dapat memenuhi keperluan ekonomi sendiri. 

4. Mengetahui USP penerbit (USP - unique selling point) - Dalam syarikat PTS, USP mereka ialah karya mesti syariah compliant dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Sebagai penulis, buku ialah produk kita justeru kita mesti memiliki USP tersendiri. USP ini akan membantu kita untuk lebih menonjol berbanding ratusan penulis lain. 

5. Menjadi rakan niaga penerbit. - Sebagai seorang penulis, kita ialah rakan niaga kepada syarikat penerbit. Penulis dan penerbit memerlukan satu sama lain. Penulis juga perlu peka mengenai jadual penerbitan supaya kita dapat memenuhi keperluan penerbit dan pasaran. 

6. Mengetahui bakat sendiri. - Setiap manusia dilahirkan dengan bakat yang tersendiri. Kenalpasti bakat itu dan gunakan kelebihan bakat itu untuk menulis. Pakar psikologi Howard Gardner menerangkan bahawa setiap manusia mempunyai tiga bakat (minimum). Kita perlu mengenal pasti bakat masing-masing dan menggilap bakat tersebut.

7. Strategi pemasaran sendiri (Personal branding) - Pengurus kepada penulis bestseller AinMaisarah ada menghuraikan lebih lanjut berkenaal hal ini. Klik pautan ini untuk membacanya. . Sebagai seorang penulis, kita perlu menjual personaliti, keperibadian kita juga di samping produk kita (buku). 

8. Mendapatkan sokongan komuniti penulis. - Puan Ainon mengalakkan kami semua untuk sentiasa berhubungan dan menjalinkan hubungan yang baik sesama penulis. Sokongan komuniti penulis dan mentor-mentor menyumbang 60% kepada kejayaan kita. 

9. Menjalin hubungan kerja dengan editor. - Kita perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan editor. Apabila kita menulis emel kepada mereka, kita perlu menulis dengan baik. Editor ialah orang penting yang sibuk menguruskan ratusan penulis. Jangan hanya kerana kita merasakan manuskrip kita penting, hubungan kita dengan penulis boleh terjejas. 

Terima kasih kepada Puan Ainon atas perkongsian input berguna ini. Beberapa tindakan sudah dilakukan. Semoga kejayaan menjadi milik kita semua. Amin.

2 ulasan:

  1. Terima kasih cikpuan Mal kerana berkongsi. Walaupun hanya memandang dari selatan tanahair, akhirnya selepas membaca, terasa seperti ada sekali di bengkel ini. :D

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah, saya gembira kerana entri ini memberi manfaat kepada Umi Danial. :)

    BalasPadam