Rabu, April 27, 2011

Kreativiti dan Buku

Sebagai seorang penulis, setiap buku yang kita beli, mempunyai tujuan tertentu. Ada waktu kita membeli buku sebagai rujukan, memperkayakan bahasa, mendapatkan idea, adaptasi dan lain-lain.

Minggu ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di PWTC. Penulis berkunjung beberapa kali ke sana tetapi masih tidak membawa pulang buku-buku ke rumah. Alhamdulillah, penulis menerima sebuah buku terjemahan secara percuma daripada penterjemahnya. Kemudian, penulis membeli beberapa naskah Tunas Cipta buat bacaan.

Selain itu, penulis juga bertemu dengan rakan-rakan penulis lain, mentor, mengunjungi booth penulis semuanya bertujuan mengumpul semangat kerja. Tidak ketinggalan, mengikuti bicara buku dan forum yang dianjurkan.


Alhamdulillah, penulis juga berkesempatan mengikuti sesi bual bicara bersama penulis novel Negeri 5 Menara ini. Benar menginspirasikan dan belajar banyak perkara daripada beliau. Menulis sebagai satu pengabdian. Kelak, penulis akan menghasilkan satu entri khusus berkaitan program tempoh hari.


Mengapa Penulis Tidak Membeli Buku di PBAKL?

Semalam, penulis blog ini mencatat menerusi ruangan status Facebook:

Apabila ada had/syarat diberikan kepada diri sendiri dalam sesuatu perkara, daya kreatif juga meningkat. Jika tiada nasi di dapur, kita mesti mencari makanan lain sebagai alternatif. Memilih untuk tidak makan juga adalah satu alternatif. Kita memilih untuk survive dalam syarat/ketetapan yang wujud.

Penulis merenung ke dalam almari buku peribadi dan melihat betapa banyaknya buku-buku yang belum habis disemak, dibaca dan dimanfaatkan isinya. Malahan, sebelum PBAKL bermula, penulis sudah 'berpesta' buku lebih awal sebagai meraikan semua urusan manuskrip selesai. Justeru, penulis mengambil keputusan bagi menggunakan rujukan sedia ada dan menghasilkan buku.

Itulah cabaran terhadap diri sendiri. Cabaran yang diambil bagi menolak diri lebih serius dalam penulisan. Sehingga penulis selesai menulis sebuah buku baru, barulah penulis akan menghadiahkan diri dengan sebuah buku baru. Sehingga itu, buku-buku sedia ada akan digunakan semaksimanya.

Semoga cabaran ini dilaksanakan sebaiknya. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan