Selasa, September 28, 2010

Podcast 3 - Buku Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib


Podcast kali ini merupakan sesi saya bercerita kepada anak saudara saya yang berusia enam tahun. Buku cerita pilihan saya ialah buku Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib. Bersemangat betul anak saudara saya gelak dan tertawa. Beliau juga tertawan dengan illustrasi dalam buku ini.



Selamat mendengar!

Nota : Saya tidak membaca buku ini terlebih dahulu. Jadi, saya kurang bersedia dan mungkin itu sebabnya anak saudara saya gelak bersungguh-sungguh.

Pari-Pari Syariah Compliant



Dalam cerita pari-pari sedia ada, kita biasa terserempak dengan kewujudan watak fairy (pari-pari) yang kadang-kadang melepasi batasan akal. Untuk menulis karya yang syariah compliant, watak fairy juga mestilah syariah compliant.

Satu cara yang dapat saya fikirkan ialah menyenaraikan sifat-sifat yang biasa kita baca dan fikir wujud pada pari-pari. Kemudian kita gunakan teknik berfikir kreatif yang bersesuaian, kita ciptakan inovasi kepada watak pari-pari sedia ada. Setelah kita murnikan idea-idea baru itu, kita pilih dan gabung jalinkan agar akhirnya watak pari-pari itu menjadi syariah compliant.

Sebagai contoh, kuasa pari-pari yang tidak terhingga, diterbalikkan kepada terhad menggunakan teknik berfikir kreatif songsang. Ini menepati konsep kuasa yang paling tinggi itu hanya pada Tuhan.

Dalam cerita Aladdin, jin hanya dapat menunaikan 3 permintaan sahaja. Dalam cerita Cinderella, magis yang dikenakan kepada buah labu, tikus hanya berkesan sehingga jam 12 tengah malam.

Bengkel Menulis Buku Cerita Kanak-Kanak 5 & 6 Tahun

Pada 26.09.2010 yang lalu, satu Bengkel Menulis Buku Cerita Kanak-Kanak 5 & 6 Tahun. Bengkel percuma ini dikendalikan oleh Presiden PTS, Puan Ainon Mohd. Dalam bengkel ini, tumpuan diberikan kepada penulisan cerita pari-pari (fairy tales).


Pada usia 5- 6 tahun, kanak-kanak mempunyai banyak kekeliruan dalam hidupnya. Cerita pari-pari berperanan sebagai alat untuk mencerahkan kekeliruan kanak-kanak. Ia mempunyai fungsi sebagai terapi jiwa. Kehadiran cerita-cerita 'happy-ending' ini membantu kanak-kanak membesar dengan jiwa yang sihat.

Justeru itu, cerita-cerita ini perlu ditulis dengan gaya yang betul. Tujuannya ialah supaya cerita-cerita ini mudah dibacakan kepada kanak-kanak. Cerita pari-pari diceritakan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak, bukan dibaca sendiri oleh kanak-kanak.

Berikut ialah poin penting ciri-ciri cerita pari-pari (fairytale) yang dikongsikan oleh Puan Sifu :

1. Untuk kanak-kanak berumur 5-6 tahun : Cerita pari-pari adalah untuk kanak-kanak berusia 5-6 tahun. Ada waktunya, ibu bapa membacakan cerita ini kepada kanak-kanak yang berusia lebih muda. Oleh itu, ayat yang digunakan mesti sedap dibacakan. Kerana dramatisnya ayat-ayat tersebut, kanak-kanak mahu cerita itu diulang lagi. Cerita rakyat, cerita penglipur lara sedia ada, tidak ditulis untuk kanak-kanak tetapi ditulis untuk orang dewasa.

2. Ada ciri 'enchantment' : Oleh kerana cerita pari-pari ini bersifat memukau dan memikat, kanak-kanak akan meminta ibu bapanya mengulang baca cerita itu berulang kali. Kanak-kanak terpegun mendengar cerita-cerita yang dibacakan kepada mereka. Apabila menulis cerita pari-pari, gunakan objek, perkara yang dapat mereka fahami dan bayangkan. Jika tidak, mereka tidak akan terpikat dan cerita itu nyata tiada faktor 'enchantment'.

3. Sastera kanak-kanak memberi makna kepada kanak-kanak. Ia memenuhi keperluan 'personal meaning' dan 'moral meaning'. Cerita-cerita ini ditulis untuk menghiburkan jiwa, secara tidak langsung menerap nilai moral yang penting kepada kanak-kanak.

4. Watak hero yang digunakan ialah kanak-kanak dan bermula pada usia kanak-kanak. Watak boleh membesar sepanjang jalan cerita.

5. Cerita pari-pari juga pendek, tidak mempunyai banyak watak, mempunyai elemen magis. Watak yang baik kekal baik hingga ke akhir cerita, begitu juga watak jahat.

Ayat yang digunakan dalam cerita pari-pari ialah ayat dramatis. Ayat dramatis ialah ayat yang boleh dilakonkan dengan mimik muka, suara dan tangan. Dalam menulis cerita pari-pari, penulis perlu menjaga jeda nafas (sendi, koma dan noktah).


Filem di atas ini mempunyai faktor 'enchanted', dramatis dan dramatik!

Lapangan cerita pari-pari (fairy tale) memberi ruang kepada para pendidik untuk menyalurkan nilai moral kepada kanak-kanak. Para pendidik dapat bergabung dengan penulis untuk menerangkan bahawa dalam hidup ini, harapan itu wujud.

Jumaat, September 24, 2010

Podcast 2 - Manuskrip, Kerjaya Penulis Sepenuh Masa dan Pokok Getah


Akhirnya saya merakamkan podcast yang kedua. Mohon klik pada pautan di bawah. Rakaman ini tidak saya rancang. Justeru itu, saya memohon maaf atas segala kekhilafan yang timbul.

Selamat mendengar!

Rabu, September 22, 2010

Kursus Bagaimana Merancang Kejayaan Karya dalam Pasaran

Pada hari Ahad yang lalu (19.09.2010) telah berlangsung kursus Bagaimana Merancang Kejayaan Karya dalam Pasaran. Alhamdulillah, saya dapat menghadiri bengkel itu dan bertemu mentor-mentor serta penulis-penulis yang hebat. 



Berikut ialah poin penting yang dikongsikan oleh Puan Ainon Mohd :

1. Mengetahui maklumat pasaran buku. - Puan Sifu menggalakkan para penulis dan bakal penulis berkunjung ke kedai buku untuk membuat sedikit pemerhatian terhadap pasaran. Perhatikan rak-rak buku dan genre yang ada. Beliau menerangkan bahawa kunjungan beliau ke kedai buku Kinokuniya, KLCC mendapati terdapat banyak rak buku kempimpinan (Leadership) dalam Bahasa Inggeris, namun tidak dalam Bahasa Melayu. Justeru ini adalah lautan biru kepada para penulis. Dengan mengetahui keperluan pasaran, kita dapat menyediakan buku yang pasaran mahukan. Strategi ini penting untuk survival jangka masa panjang seorang penulis.

2. Memilih penerbit. - Para penulis dan bakal penulis perlu memilih syarikat penerbitan yang betul. Kajian dan pemerhatian boleh dilakukan melalui sahabat-sahabat penulis yang lain. Dapatkan maklumat mengenai syarikat penerbitan yang mahu kita sertai (sebagai penulis).

3. Mengetahui strategi bisnes penerbit. - Para penulis dan bakal penulis juga perlu mengetahui strategi bisnes penerbit yang mereka pilih. Untuk memenuhi keperluan ekonomi penulis, lebih baik jika kita menyertai syarikat yang menerbitkan buku berdasarkan permintaan pasaran. Buku-buku dapat dijual, penulis dapat memenuhi keperluan ekonomi sendiri. 

4. Mengetahui USP penerbit (USP - unique selling point) - Dalam syarikat PTS, USP mereka ialah karya mesti syariah compliant dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Sebagai penulis, buku ialah produk kita justeru kita mesti memiliki USP tersendiri. USP ini akan membantu kita untuk lebih menonjol berbanding ratusan penulis lain. 

5. Menjadi rakan niaga penerbit. - Sebagai seorang penulis, kita ialah rakan niaga kepada syarikat penerbit. Penulis dan penerbit memerlukan satu sama lain. Penulis juga perlu peka mengenai jadual penerbitan supaya kita dapat memenuhi keperluan penerbit dan pasaran. 

6. Mengetahui bakat sendiri. - Setiap manusia dilahirkan dengan bakat yang tersendiri. Kenalpasti bakat itu dan gunakan kelebihan bakat itu untuk menulis. Pakar psikologi Howard Gardner menerangkan bahawa setiap manusia mempunyai tiga bakat (minimum). Kita perlu mengenal pasti bakat masing-masing dan menggilap bakat tersebut.

7. Strategi pemasaran sendiri (Personal branding) - Pengurus kepada penulis bestseller AinMaisarah ada menghuraikan lebih lanjut berkenaal hal ini. Klik pautan ini untuk membacanya. . Sebagai seorang penulis, kita perlu menjual personaliti, keperibadian kita juga di samping produk kita (buku). 

8. Mendapatkan sokongan komuniti penulis. - Puan Ainon mengalakkan kami semua untuk sentiasa berhubungan dan menjalinkan hubungan yang baik sesama penulis. Sokongan komuniti penulis dan mentor-mentor menyumbang 60% kepada kejayaan kita. 

9. Menjalin hubungan kerja dengan editor. - Kita perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan editor. Apabila kita menulis emel kepada mereka, kita perlu menulis dengan baik. Editor ialah orang penting yang sibuk menguruskan ratusan penulis. Jangan hanya kerana kita merasakan manuskrip kita penting, hubungan kita dengan penulis boleh terjejas. 

Terima kasih kepada Puan Ainon atas perkongsian input berguna ini. Beberapa tindakan sudah dilakukan. Semoga kejayaan menjadi milik kita semua. Amin.

Jumaat, September 17, 2010

Bahan-Bahan

Kebiasaannya apabila saya menonton rancangan memasak di televisyen (lama dahulu, saya sudah berhenti menonton televisyen), pengacara rancangan masakan itu akan berkata,"Untuk menyediakan nasi goreng ini, kita memerlukan beberapa bahan seperti berikut....nasi yang sudah disejukkan, bawang, telur, ayam yang potong dadu, lobak merah potong dadu, bawang putih, garam secukup rasa."

Begitulah kebiasaannya. Jika mahu penerangan lanjut mengenai cara-cara memasak nasi goreng, boleh tonton video di bawah ini.



Untuk menyediakan nasi goreng, kita perlukan bahan-bahan tertentu. Jika tiada nasi, tidak jadi nasi goreng. Atas sebab itu, saya yakin, untuk menulis buku yang bagus, kita juga perlu persediaan yang bersesuaian. 

Jadi, minggu pertama ini saya mempersiapkan diri dengan rujukan, bahan-bahan penulisan dan semangat. Saya berharap, tidak berlaku fenomena 'writers block' pada minggu yang akan datang. Selain persediaan dari segi bahan-bahan ini, saya juga mempersiapkan semangat untuk berjuang dengan menghadiri bengkel penulisan kelolaan Puan Ainon pada hujung minggu. 

Saya berharap pertemuan dengan para penulis lain akan menjadikan saya semakin bersemangat. Tidak sabar bertemu para penulis lain dan bertanya khabar projek penulisan terbaru mereka.

Sampai sini sahaja buat waktu ini. Saya mahu berkongsi kembali kata-kata yang saya nukilkan di ruangan Facebook saya baru-baru ini :

Rome wasn't build in one day. Sabar, tekun, konsisten, berterusan. Kura-kura pun boleh menang dalam lumba lari bersama arnab.

PS : Nasi goreng akan bertambah sedap jika Tuan Puan campurkan ikan bilis yang digoreng garing. Dalam penulisan, boleh guna aplikasi teori interteks untuk menambahkan lagi 'kelazatan' manuskrip kita.

Selasa, September 14, 2010

7 Minggu

Bermula hari Isnin (13.09.2010) sehingga 29 Oktober 2010;  rutin harian saya akan berubah. Saya termaktub di dalam perancangan kerja keras selama 7 minggu mendatang.

Selama 7 minggu ini saya berusaha untuk melunaskan manuskrip saya. Saya berharap saya dikurniakan kesihatan, kekuatan, fokus, semangat kerja yang tinggi, emosi yang stabil, idea yang mengalir deras dan bermacam lagi. Amin.

Tujuannya satu, untuk melunaskan manuskrip.



Minggu pertama ini berbaki tiga hari lagi dan gerak kerja belum bermula sepenuhnya. Masih ada saki baki kerja lain yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya sudah kekurangan masa untuk bersuka ria, berjalan-jalan membeli coklat bar, membeli buku baru mahupun pergi makan spring potato pada hari Sabtu. Namun, saya yakin, pengorbanan akan membuahkan hasil di luar jangkaan. Maksud saya, hasil yang baik. Bukannya seperti pokok pisang tetapi berbuah anggur pula. 

Untuk memastikan saya bekerja keras sepanjang minggu ini, saya mahu menggunakan sedikit teori yang pernah saya pelajari. Saya akan memberikan sedikit rangsangan (stimulus) terhadap diri sendiri dengan mengumumkan bahawa saya akan menyiapkan manuskrip saya menjelang bulan November. Dengan bersaksikan oleh semua pembaca, saya bertindak balas dan mengeluarkan respon dengan merangka gerak kerja tujuh minggu ke hadapan. Saya perlu memastikan diri sendiri untuk fokus pada perancangan.

Tujuh minggu yang mendatang, semua kerja saya selesai. Saya fikir mahu memberi ganjaran kepada diri sendiri pada waktu itu. Namun itu mengambil masa lebih satu bulan dari sekarang. Terlalu lama! Saya fikir lebih baik jika saya dapat membawa diri bersiar-siar ke kedai buku pada hujung minggu kelak apabila perjalanan minggu pertama saya berakhir dengan baik.


Saya berharap bilik saya tidak akan jadi seperti bilik kakak ini. 

Sebelum saya terlupa, gerak kerja itu tidak termasuk hari Sabtu dan Ahad kerana saya bersekolah pada hari tersebut. Malahan jika punya waktu, saya akan sibuk dengan kelas-kelas penulisan yang perlu saya hadiri. 

Saya belum fikir apakah ganjaran yang mahu saya berikan kepada diri sendiri. Mohon jasa baik rakan-rakan sekalian untuk berkongsi idea ganjaran yang sepadan. Malahan, jika rakan-rakan mahu memberi ganjaran kepada saya juga, saya terima dengan hati berbunga-bunga. ^___________^

Sekian dahulu, tinggalkan cadangan rakan-rakan di ruangan komentar. 

Saya suka.