Jumaat, September 17, 2010

Bahan-Bahan

Kebiasaannya apabila saya menonton rancangan memasak di televisyen (lama dahulu, saya sudah berhenti menonton televisyen), pengacara rancangan masakan itu akan berkata,"Untuk menyediakan nasi goreng ini, kita memerlukan beberapa bahan seperti berikut....nasi yang sudah disejukkan, bawang, telur, ayam yang potong dadu, lobak merah potong dadu, bawang putih, garam secukup rasa."

Begitulah kebiasaannya. Jika mahu penerangan lanjut mengenai cara-cara memasak nasi goreng, boleh tonton video di bawah ini.



Untuk menyediakan nasi goreng, kita perlukan bahan-bahan tertentu. Jika tiada nasi, tidak jadi nasi goreng. Atas sebab itu, saya yakin, untuk menulis buku yang bagus, kita juga perlu persediaan yang bersesuaian. 

Jadi, minggu pertama ini saya mempersiapkan diri dengan rujukan, bahan-bahan penulisan dan semangat. Saya berharap, tidak berlaku fenomena 'writers block' pada minggu yang akan datang. Selain persediaan dari segi bahan-bahan ini, saya juga mempersiapkan semangat untuk berjuang dengan menghadiri bengkel penulisan kelolaan Puan Ainon pada hujung minggu. 

Saya berharap pertemuan dengan para penulis lain akan menjadikan saya semakin bersemangat. Tidak sabar bertemu para penulis lain dan bertanya khabar projek penulisan terbaru mereka.

Sampai sini sahaja buat waktu ini. Saya mahu berkongsi kembali kata-kata yang saya nukilkan di ruangan Facebook saya baru-baru ini :

Rome wasn't build in one day. Sabar, tekun, konsisten, berterusan. Kura-kura pun boleh menang dalam lumba lari bersama arnab.

PS : Nasi goreng akan bertambah sedap jika Tuan Puan campurkan ikan bilis yang digoreng garing. Dalam penulisan, boleh guna aplikasi teori interteks untuk menambahkan lagi 'kelazatan' manuskrip kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan