Ketika menghadiri bengkel KJ Method kelolaan PTS baru-baru ini, kami didedahkan dengan sejarah teknik KJ dan aplikasinya kepada penulis. Teknik KJ adalah satu teknik berfikir untuk menyelesaikan masalah secara kreatif. Teknik ini mengambil singkatan kepada nama penciptanya, Kawakita Jiro. Beliau merupakan seorang tokoh kreativiti Jepun.
Apabila kita menyelesaikan sesuatu masalah, kita tidak semestinya perlu mengikut aturan berfikir linear dan logik yang ketat seperti kebiasaannya. Namun, bidang-bidang seperti Matematik sememangnya memerlukan teknik berfikir secara linear.
Dengan menggunakan KJ Method, kita dapat melontarkan cadangan penyelesaian dari mana-mana aturan yang kita mahu. Contoh seterusnya memudahkan pemahaman kedua-dua teknik berfikir ini.
Arahan : Senaraikan pakaian, objek, dan apa sahaja yang terlintas dalam minda Tetuan apabila melihat gambar di bawah ini :
Apabila menggunakan teknik berfikir logik dan linear, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Rambut perang gelap, pemuda Inggeris, baju lengan pendek berwarna putih, seluar denim, kasut dan gitar.
Apabila menggunakan teknik berfikir KJ, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Seluar denim, gitar, rambut, baju berwarna putih dan seterusnya.
Perbezaan kedua-dua sampel jawapan ini adalah pada cara jawapan/idea dilontarkan. Teknik KJ membolehkan kita melontarkan idea secara rawak tanpa perlu terikat kepada susunan/logik.
Kebaikan berfikir secara KJ adalah kreativiti tidak tersekat dan sentiasa ada banyak pintu masuk dalam mencari penyelesaian.
Apabila menggunakan teknik berfikir linear pula, jika kita buntu mencari idea hanya kerana tidak dapat mengenalpasti sesuatu perkara, seluruh aktiviti berfikir terhenti.
Natural kepada manusia
Teknik KJ adalah teknik berfikir natural sejak kecil. Kita sering melihat seorang kanak-kanak jika bermain, tidak memikirkan peraturan dan aturan untuk bermain.
Jika kita berikan permainan di atas kepada seorang kanak-kanak. Seketika kemudian, kita tunjukkan robot di atas kepadanya dan pinta dia membina robot itu menggunakan permainan itu.
Kebiasaannya, mereka akan mencuba dan mengambil apa sahaja peluang yang boleh untuk membina robot itu. Tiada aturan tertentu. (KJ Method)
Tetapi, orang dewasalah yang memberikan aturan kepada mereka supaya memasang bahagian badan terlebih dahulu, kemudian kepala, tangan dan sebagainya. (Linear)
Teknik KJ tidak menyekat kreativiti, justeru ia boleh diaplikasikan oleh para penulis untuk kerja-kerja penulisan.
Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen dan KJ Method untuk buku fiksyen.
Nota : Bacaan lanjut berkenaan teknik ini : http://www.mycoted.com/KJ-Method
Tiada ulasan:
Catat Ulasan