Memaparkan catatan dengan label Manuskrip. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manuskrip. Papar semua catatan

Isnin, Februari 21, 2011

Manuskrip Buku Pertama

Pada bulan November tahun lalu, saya menulis entri ini : Due Date November 2010. Selepas beberapa kali penangguhan, penantian sudah sampai ke penghujungnya.

Alhamdulillah.

Akhirnya, penulis blog ini berjaya menyelesaikan hutang manuskrip buku pertama beliau. Sekitar jam 8 malam (semalam), penulis mengirimkan pesanan ringkas kepada seorang sahabat. Penulis memohon sahabatnya memberikan kata-kata perangsang supaya penulis terdorong menyelesaikan hutang manuskrip ini.

Sahabat penulis membalas pesanan ringkas itu dengan arahan seperti berikut : "Tulis di atas kertas 'Tempat larangan sehingga jam 1 pagi!' dan letakkannya di atas katil awak."

Penulis akur pada arahan itu dan menulis ayat itu pada sehelai kertas. Kemudian, penulis meletakannya di atas katil, tempat penulis berehat dan berbaring setiap malam. Penulis juga merakamkan fotonya sebagai bukti dan tujuan kenangan.


"Tulis di atas kertas 'Tempat larangan sehingga jam 1 pagi!' dan letakkannya di atas katil awak."

Alhamdulillah, urusan penulis dipermudahkan malam semalam dan semuanya selesai menjelang jam 12 tengah malam.

Esok, penulis akan mengirimkan manuskrip penuh kepada editor. Hari ini, penulis masih memperbaiki manuskrip dan menggabungkannya dengan hasil penulisan penulis bersama. Benar, buku ini merupakan buku tulisan bersama.

Semoga urusan kami dipermudahkan sentiasa.

Nota : Penulis akan berkongsi pengalaman sebalik tabir manuskrip ini dalam entri seterusnya.

Selasa, September 14, 2010

7 Minggu

Bermula hari Isnin (13.09.2010) sehingga 29 Oktober 2010;  rutin harian saya akan berubah. Saya termaktub di dalam perancangan kerja keras selama 7 minggu mendatang.

Selama 7 minggu ini saya berusaha untuk melunaskan manuskrip saya. Saya berharap saya dikurniakan kesihatan, kekuatan, fokus, semangat kerja yang tinggi, emosi yang stabil, idea yang mengalir deras dan bermacam lagi. Amin.

Tujuannya satu, untuk melunaskan manuskrip.



Minggu pertama ini berbaki tiga hari lagi dan gerak kerja belum bermula sepenuhnya. Masih ada saki baki kerja lain yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya sudah kekurangan masa untuk bersuka ria, berjalan-jalan membeli coklat bar, membeli buku baru mahupun pergi makan spring potato pada hari Sabtu. Namun, saya yakin, pengorbanan akan membuahkan hasil di luar jangkaan. Maksud saya, hasil yang baik. Bukannya seperti pokok pisang tetapi berbuah anggur pula. 

Untuk memastikan saya bekerja keras sepanjang minggu ini, saya mahu menggunakan sedikit teori yang pernah saya pelajari. Saya akan memberikan sedikit rangsangan (stimulus) terhadap diri sendiri dengan mengumumkan bahawa saya akan menyiapkan manuskrip saya menjelang bulan November. Dengan bersaksikan oleh semua pembaca, saya bertindak balas dan mengeluarkan respon dengan merangka gerak kerja tujuh minggu ke hadapan. Saya perlu memastikan diri sendiri untuk fokus pada perancangan.

Tujuh minggu yang mendatang, semua kerja saya selesai. Saya fikir mahu memberi ganjaran kepada diri sendiri pada waktu itu. Namun itu mengambil masa lebih satu bulan dari sekarang. Terlalu lama! Saya fikir lebih baik jika saya dapat membawa diri bersiar-siar ke kedai buku pada hujung minggu kelak apabila perjalanan minggu pertama saya berakhir dengan baik.


Saya berharap bilik saya tidak akan jadi seperti bilik kakak ini. 

Sebelum saya terlupa, gerak kerja itu tidak termasuk hari Sabtu dan Ahad kerana saya bersekolah pada hari tersebut. Malahan jika punya waktu, saya akan sibuk dengan kelas-kelas penulisan yang perlu saya hadiri. 

Saya belum fikir apakah ganjaran yang mahu saya berikan kepada diri sendiri. Mohon jasa baik rakan-rakan sekalian untuk berkongsi idea ganjaran yang sepadan. Malahan, jika rakan-rakan mahu memberi ganjaran kepada saya juga, saya terima dengan hati berbunga-bunga. ^___________^

Sekian dahulu, tinggalkan cadangan rakan-rakan di ruangan komentar. 

Saya suka.