Tarikh 7 November 2010 ialah tarikh paling bermakna dalam kerjaya saya sebagai seorang penulis. Tarikh ini merupakan tarikh sasaran selesai menulis manuskrip pertama. Tarikh ini juga menjadi tarikh saya melangkah masuk sepenuhnya ke dalam dunia penulis setelah usaha mencari dan membuka pintunya dilakukan lebih awal.
Usaha menyiapkan manuskrip masih berterusan pada saat ini. Komitmen adalah perkara yang dipelajari dalam tempoh tiga bulan ini. Apabila kerjaya diberi keutamaan, maka komitmen utama ialah kepada aktiviti menulis. Keutamaan masa mesti diberikan untuk kerja menulis. Saya mesti menyediakan waktu untuk menulis.
Waktu Menulis
Dalam 24 jam sehari, kita sebagai penulis perlu mengenalpasti ruang waktu yang paling efektif untuk menulis. Saya bermula dengan cuba menulis pada waktu lewat malam ketika semua orang sudah lena diulit mimpi. Hasilnya, saya cuma dapat bertahan selama seminggu.
Kemudian, saya cuba menulis pada waktu sebelum Subuh. Waktu ini paling efektif kerana badan dan minda dalam kondisi yang segar dan bersemangat. Namun, saya gagal menjadikannya tabiat kerana saya cenderung untuk membaca akhbar secara online melalui portal dan laman web.
Eksperimen mengenal tabiat menulis diteruskan lagi. Sepanjang bulan Oktober, kerja menulis tidak lagi dilakukan di rumah. Tidak lagi dilakukan menerusi kamar bilik yang bertindak sebagai SOHO.
Bersama-sama bahan rujukan, setiap hari saya membawa diri dan fokus, berziarah serata kota. Kerja menulis hanya menggunakan pen dan kertas. Kerja menulis dilakukan melalui kafe dan kadangkala di tengah-tengah taman. Walaupun keadaan sedikit hingar, tetapi lebih mudah membulatkan fokus. Saya juga berasa lebih seronok dapat melihat bermacam ragam manusia yang lalu lalang di kawasan tersebut. Percaya atau tidak, melalui cara ini saya menulis lebih 10 muka surat dalam masa dua jam.
Usai menulis, saya berehat sebentar sambil menikmati aroma kopi yang harum. Kemudian perjalanan harian diteruskan ke kedai buku untuk memerhatikan, belajar dan mengkaji pasaran. Hampir setiap hari saya mewajibkan diri untuk memegang buku-buku di kedai buku. Saya membelek setiap satunya untuk mendapatkan inspirasi dan berangan-angan.
Kedai buku ialah tempat yang dekat dalam hati penulis. Melalui kedai buku, penulis dapat belajar mengenai trend, pasaran dan kehendak pengguna.
Semoga usaha ini mendapat keberkatanNya. Amin.
PS : Teringat pesan Puan Sifu yang kebetulan hampir serupa dengan perkongsian ayahanda saya semalam, "Tulis apa yang orang mahu baca, bukan apa yang kamu suka."
manuskrip mengenai apa ye? adakah Rahsia? ^_^
BalasPadamManuskrip mengenai memulakan dan menguruskan perniagaan dari rumah. Small Office Home Office.
BalasPadam