Memaparkan catatan dengan label Novel Fantasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel Fantasi. Papar semua catatan

Isnin, November 29, 2010

Ciri-Ciri Novel Fantasi

Puan Ainon Mohd melalui laman sesawang UNIKA, sudah menulis sebab musabab novel-novel fantasi tidak laku. Untuk membaca entri penuh berkaitan hal ini, mohon klik pada pautan ini : http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_ciri-ciri_novel_fantasi_yang_tidak_laku_dalam_pas/

Ciri-Ciri Novel Fantasi Yang Laku

Kontradiksi kepada ciri-ciri ini adalah seperti berikut :

(i) Novel itu tebal. Novel fantasi Harry Potter adalah novel yang tebal. Penulisnya mengambil masa dan fokus kepada penceritaan dan plot cerita. Plot yang tersusun kemas dan panjang menjadikan ia sedap dibaca dan puas dibaca. Apabila menulis novel fantasi, kita mesti menghasilkan novel yang tebal supaya pembaca berasa seronok.


(ii) Menggunakan teori familiariti dan sejarah untuk menyuntik minat pembaca ketika membaca. Cerita-cerita sejarah yang familiar kepada masyarakat negara ini, ditambah pula dengan penggunaan teknik berfikir kreatif, boleh menghasilkan sesuatu yang familiar dan difahami pembaca.

Paling penting, apa yang ditulis dalam novel, mempunyai interteks kepada fikiran pembaca. Barulah bercambah minat pembaca untuk mengikuti karya kita yang seterusnya. Cerita yang terlalu futuristik, boleh digunakan apabila nama penulis sudah benar-benar kukuh dan punya peminat tersendiri.

(iii) Gunakan nama yang mudah disebut, mudah diingati, mudah dieja kembali. Pembaca yang teruja dengan jalan cerita novel fantasi tertentu, teruja mahu berkongsi cerita novel itu kepada orang lain. Jika nama watak, judul dan latar kawasan novel itu susah untuk disebutkan, bagaimana pula pembaca mahu menyebarkan kewujudan novel kita?

Apabila menulis, penulis mesti berfikir dari sudut bisnes. Zaman ini adalah zaman penulis hidup dengan menggunakan royalti sepenuhnya. Hanya dengan berfikir dari sudut bisnes, kita dapat mengetepikan mitos yang kita guna pakai sebelum ini.

Selasa, November 23, 2010

Pasaran Novel Fantasi Malaysia


Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM) menerajui pasaran novel fantasi di Malaysia. Kewujudan peminat dan pembaca setia novel-novel tulisan Tuan Ramlee Awang Murshid menunjukkan bahawa ada pasaran dalam genre ini.

Disebabkan beliau kini merupakan big boy dalam genre ini, penulis baru yang mahu masuk bidang novel fantasi perlu terlebih dahulu mengenali ciri-ciri yang ada pada novel-novel beliau. Ciri - ciri yang berulang-ulang dan kekal dalam kebanyakan novelnya mungkin menjadi faktor kesukaan para pembaca.

Mengikut teori familiariti, kita cenderung untuk membeli produk yang sama dan membeli dari tempat yang sama kerana kita mahu mengelakkan risiko tersalah membuat keputusan. Apabila kita mengikut ciri-ciri novel RAM, kita menghasilkan buku-buku yang familiar dan tidak kontra langsung kepada novel-novel itu. Penulis baru boleh cuba menghidangkan sesuatu yang familiar (ciri-ciri yang hampir serupa) kepada peminat-peminat.

Jika penulis baru berjaya menggunakan kembali ciri-ciri tersebut, dan mengaplikasikannya dalam novel-novel sendiri, dapatlah penulis tersebut sama-sama menjual novel fantasi kepada pasaran peminat RAM.

Setelah nama penulis itu berjaya mendapat tempat dalam hati pembaca, barulah penulis cuba menyenaraikan ciri-ciri khusus yang membezakan hasil karya sendiri dengan karya novel fantasi yang lain. Untuk terus kekal sebagai player dalam genre ini pula, penulis perlu sentiasa membezakan karyanya dengan karya yang lain.

Strategi masuk pasaran dan strategi berlumba-lumba dalam pasaran nyata berbeza.

Kemas kini :

Ciri-ciri tersebut mesti familiar kepada pembaca tetapi tidak serupa sepenuhnya seperti ciri-ciri yang digunakan oleh penulis big boy. Tujuannya adalah untuk memberi sesuatu yang baru kepada pembaca dari penulis berbeza tetapi tidak lari jauh dari ciri-ciri kesukaan mereka.

Isnin, November 22, 2010

Ciri-Ciri Watak Hero dalam Fiksyen Fantasi/Superhero

Ketika berlangsungnya Kursus Teori dan Teknik Menulis Novel Kembara dan Misteri Berdasarkan Kisah Nabi Musa pada bulan lalu, beberapa perkara penting dibincangkan dalam kursus itu.

Bagi penulis yang berminat menulis fiksyen fantasi, kembara, siri superhero dan lain-lain, penulis boleh membaca dan mengkaji kisah Nabi Musa bagi mendapatkan idea perjalanan cerita, plot, watak-watak dan misteri di dalam kisah itu.

Antara ciri-ciri yang sempat saya catit di dalam nota termasuklah ciri-ciri watak seorang hero. Saya pulang dengan idea bahawa watak hero perlu mempunyai ciri-ciri seperti berikut :

1. Seorang yang menuntut ilmu. Watak kita mungkin seorang yang masih belajar dan mahu belajar.

2. Seorang yang penyabar.

3. Hero kita mempunyai kuasa tertentu.

4. Hero kita mempunyai watak pembantu.

5. Hero kita mengembara. Justeru itu, adalah bagus jika sebuah novel fiksyen mempuyai peta tersendiri yang menerangkan pengembaraan watak hero.

6. Hero kita berkahwin dan membina keluarga.

7. Ada elemen mimpi.

Mengambil contoh fiksyen fantasi Harry Potter, kebanyakan ciri-ciri di atas ada pada watak Harry Potter. Apabila watak mengembara, imaginasi pembaca turut ikut mengembara. Kepuasan pada pembaca adalah salah satu kejayaan bagi pihak penulis.



Apabila pembaca berasa puas, mereka juga bertambah yakin dan suka pada hasil tulisan kita. Akhirnya diharapkan mereka menjadi pembaca setia karya kita.