Jumaat, Disember 10, 2010

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan lanjutan kepada entri Apa Itu Teknik KJ? (KJ Method).

Sekiranya Tuan/Puan belum membaca entri itu, penulis mengalakkan Tuan/Puan membacanya terlebih dahulu. Hal ini akan memudahkan lagi kefahaman terhadap entri berikutnya ini.

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan satu strategi menulis sebuah cerita/novel yang penulis gabungkan melalui bengkel Teknik KJ dan pembacaan buku-buku panduan menulis fiksyen yang lain. Jika para pembaca merasakan strategi ini sangat tidak logik dan boleh mendatangkan kesukaran, maka ubahlah bahagian-bahagian yang dirasakan perlu agar formula ini sesuai untuk diri masing-masing.

Andaikan kita mahu menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan (60 hari). Fiksyen yang mahu kita tulis pula setebal 400 muka surat.

Anggarkan bilangan babak/peristiwa (scene) yang mahu kita tuliskan dalam novel itu. Pemilihan babak/peristiwa bertujuan memudahkan novel kita dijadikan filem/drama/teater di masa hadapan.


Katakan kita memilih 60 peristiwa berbeza.

Dapatlah kita anggarkan dalam setiap peristiwa, anggaran muka surat ialah 6 - 7 muka surat. Dengan jumlah ini, kita dapat menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan. Setiap hari, kita perlu menulis 6 - 7 muka surat sahaja (1 peristiwa).

Bagaimana Mendapatkan 60 Peristiwa Ini?

Keluarkan 60 kad indeks berbeza dan tuliskan satu peristiwa bagi setiap kad, sehingga cukup 60 kad. Contohnya, pada kad pertama, watak hero menaiki kapal terbang dan terjumpa bekas tunangnya di dalam penerbangan itu.

Kad kedua pula mewakili peristiwa perbualan hero dan bekas tunangnya itu. Kad ketiga pula menunjukkan hero sudah sampai ke destinasi dan terus menuju ke hotel.

Teruskan menulis 60 peristiwa sehingga selesai. Peristiwa ini tidak semestinya melibatkan watak utama sahaja. Ia juga boleh melibatkan watak sampingan, watak antagonis, watak protagonis yang lain. Usah fikirkan logik dan kronologi peristiwa-peristiwa ini.

Tulis sehingga siap.

Susun Kad Indeks

Aturkan 60 kad indeks ini di hadapan kita. Susunkan kembali semua kad ini mengikut cerita yang kita mahukan. Susunannya tidak sama seperti yang asal. Mungkin kad pertama sekarang adalah penampilan watak hero sebelum beliau menaiki kapal terbang terbabit. Kad kedua pula mungkin memperkenalkan watak heroin dari situasi lain pula.

Contoh susunan kad indeks (Source)

Setelah selesai, bolehlah disalin ke dalam komputer. Untuk setiap satu babak, gunakan satu fail. Di dalam komputer kita kini, sudah ada 60 fail berbeza.

Apabila menulis kelak, pilihlah mengikut kesukaan hati sendiri pada hari terbabit. Tidak semestinya menulis mengikut susunan fail.

Kaedah KJ memudahkan kita mengalirkan kreativiti dan menumpaskan fenomena 'writers block' kerana penulis sudah merancang penulisannya terlebih dahulu, walaupun susunannya tidak linear.

Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen.

2 ulasan:

  1. salam,

    adakah PTS menerbitkan kumpulan cerpen kanak-kanak juga?

    http://kreatifne.blogspot.com/

    BalasPadam
  2. Salam Tuan Gentleman Frog,

    PTS ada menerbitkan buku kanak-kanak. Berkenaan cerpen, saya kurang pasti.

    Jika Tuan memerlukan maklumat tepat, boleh layari laman web PTS One : www.ptsone.com.my

    BalasPadam