Rabu, Februari 02, 2011

Motivasi Untuk Penulis (1)

Pada awal tahun baru, ramai orang menulis resolusi dan matlamat tahun baru mereka. Penulis juga tidak terkecuali menetapkan matlamat untuk menulis sebuah buku tahun 2011 ini. Ada juga penulis yang menetapkan impian untuk menulis lebih daripada itu.

Bagaimanakah caranya untuk kita memulakan dan membangkitkan aura kerja dalam diri kita? Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dipraktikkan :


Bertemu rakan-rakan penulis

Kerjaya sebagai seorang penulis memerlukan kita meluangkan banyak masa bersendirian bersama manuskrip, lakaran idea, buku-buku rujukan, komputer dan lain-lain. Apabila kita tersekat pada pertengahan kerja penulisan, kita mungkin mengalami stress dan boleh berputus asa. Produktiviti kerja juga menurun dari masa ke masa.

Wujudkan masa untuk bertemu rakan-rakan penulis yang lain. Rakan-rakan penulis berperanan untuk menyalurkan semangat kerja. Kita juga dapat mengikuti perkembangan projek terkini mereka. Lebih menguntungkan jika ada yang mengundang kita untuk menjadi penulis bersama.


Membeli dan membaca buku

Walaupun kita beranggapan kita sudah membaca banyak buku, kita masih perlu membaca lebih dari itu. Apabila kita membaca buku baru, kita memperolehi informasi baru, belajar perkara baru, belajar gaya penulisan baru, mengetahui perkembangan industri buku dan mengkaji kehendak pasaran bermusim.

Buku-buku yang dibeli khusus untuk kegunaan penulisan, mesti digunakan sepenuhnya dan menghasilkan ROI (return of investment) yang baik.

Sumber foto : http://pawiblog.com

Disiplin menulis setiap hari

Setiap penulis memerlukan KPI (key performance index) untuk mengukur produktiviti kerja masing-masing. Sekiranya kita dapat menetapkan KPI menulis tiga muka surat setiap hari, kita dapat menghasilkan sejumlah 90 muka surat dalam tempoh sebulan. Empat bulan berikutnya, kita dapat menghasilkan sebuah novel dengan jumlah 360 muka surat.


Kerja menulis dan menyiapkan manuskrip perlu dianggap sebagai kerja menghasilkan produk. Kerjaya sebagai seorang penulis pula perlu dianggap sebagai sebuah perniagaan.

Semoga semua penulis yang membaca entri ini dapat menghasilkan lebih daripada sebuah buku tahun ini. Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan