Rabu, Februari 16, 2011

Sepuluh penulis terkaya dunia

Sepuluh penulis terkaya dunia
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/15

Karya mereka diterjemahkan ke bahasa asing, difilemkan

KERJA menulis sebenarnya memberi pulangan lumayan jika kena pada caranya dan apatah lagi jika novel seseorang pengarang itu berjaya menduduki carta jualan laris di pasaran sehingga difilemkan pula.

Walaupun mungkin ada sebahagian penulis menyifatkan karya seni bukanlah berbumbukan wang atau ‘aku menulis bukan kerana nama’, namun pulangan yang lumayan menjadikan ramai penulis terutama di luar negara meletak jawatan dan memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Meskipun ketika ini versi buku dalam talian (e-book) menjadi pilihan sesetengah pembaca, namun buku yang dipasarkan dalam bentuk kulit keras atau paper-back tetap menjadi pilihan, apatah lagi jika buku terbabit diadaptasi ke filem.

Buku dalam kategori sedemikian bukan saja menambah publisiti kepada penulisnya, tetapi juga tambahan imbuhan dan penulis yang termasuk dalam senarai terbabit terkaya mendapat perhatian daripada majalah Forbes seperti berikut.

1. James Patterson

MEMILIKI 51 buku tersenarai dalam carta laris di pasaran dan penulis ini dianggarkan memiliki simpanan berjumlah RM210 juta, sebenarnya berkerja keras untuk kedudukan itu dengan memastikan dua novel lahir setahun bagi memastikan pembaca kekal bersamanya.
Uniknya, Patterson fobia komputer dan menyiapkan novelnya dengan tulisan tangan sehingga mengagumkan dunia kesusasteraan dengan keupayaannya menghasilkan pelbagai genre dari komedi, romantik, thriller selain karya bukan fiksyen.

Suatu lagi hakikat yang boleh menyebabkan ramai pengarang untuk berasa iri hati atau ‘bunuh diri’ ialah 17 karyanya kebelakangan ini membolehkan Patterson meraih RM300 juta.

2. Stephenie Meyer

TAHUN lalu, Meyer berjaya memperoleh RM120 juta walaupun dia tidak menghasilkan apa-apa buku kerana sejak 2005 apabila kisah cinta pontianaknya Twilight difilemkan, novel asalnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemahkan ke 37 bahasa.

Sebelum Siri Twilight, Meyer banyak menulis cerpen dan kemasyhuran pengarang ini disumbangkan oleh filem dalam Siri Twilight yang menjadi kegilaan di seluruh dunia sehingga penulis ternama, Stephen King pernah berkata, ‘dia tidak boleh menulis, tetapi dia berada di tangga kedua,’

3. Stephen King

‘GODFATHER’ untuk genre seram kontemporari Amerika dan sains fiksyen, King menduduki tangga ketiga dengan pendapatan RM102 juta, walaupun bertarung dengan ketagihan alkohol yang teruk selain ketagihan dadah dan ubat-ubatan yang dipreskripsi, masih kekal sebagai penulis disegani.

Dengan lebih 80 buku yang diadaptasi ke layar perak, King menerima pengiktirafan dunia atas kerja seninya, selain kerap menulis artikel di pelbagai jurnal dan majalah.

Pada 2003, King dianugerahkan Pingat Sumbangan Terbilang Kepada Dunia Persuratan Amerika sebagai tanda mengiktiraf jerih payah pengarang terbabit dalam membangunkan dunia cereka negara itu,

4. Danielle Steel

PENGARANG yang terkenal sebagai ratu untuk genre romantis mempunyai lapan novel menduduki carta laris di pasaran jualan terlaris dan tahun lalu saja, jualan keseluruhan karyanya mencapai RM96 juta.

Novelnya menduduki carta laris di pasaran di New York selama 390 minggu berturut-turut, manakala 20 lagi novelnya diadaptasi ke layar perak.

Walaupun dikritik kerana kebanyakan novelnya mengulang formula kisah cinta klise, kebanyakan pembaca masih setia dengan Steel kerana keupayaannya menulis pelbagai topik dan Steel baru-baru ini mengumumkan novel ke-71nya akan diterbitkan dalam format e-book.

5. Ken Follett

PENULIS British ini memperoleh pendapatan RM60 juta tahun lalu hasil jualan novelnya dan citranya sebagai penulis genre historikal dan thriller, membolehkan novelnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia, dengan empat daripadanya menduduki carta jualan laris di pasaran New York.

Follett muncul buat kali pertama pada 1978 menerusi novel Eye of the Needle yang mengisahkan mengenai percubaan perisik Jerman melarikan lari dari Britain, tetapi terkandas dengan sepasang suami isteri dan novel ini difilemkan pada 1981.

Kebanyakan latar tempat dalam novel Follet dekat dengan dirinya, misalnya Salisbury London, selain Antigua dan Afrika Selatan, di samping ada sesetengah lokasi dalam karyanya itu sangat penting baginya dan isteri, bekas ahli Parlimen, Barbara Follet.

6. Dean Koontz

SETIAP tahun Koontz memperoleh RM54 juta dan Koontz memiliki 44 novel dalam carta jualan laris di pasaran terlaris serta menulis pelbagai genre, sains fiksyen, seram, tetapi Koontz lebih dianggap sebagai penulis genre thriller yang berjaya.

Sebelum menggunakan nama sebenar, Koontz menulis dengan menggunakan nama samaran dan antaranya Trixy Koontz, selain hanya menggunakan nama sebenar apabila menghasilkan novel ke-35.

Dengan 16 buku yang diadaptasi ke filem dan menerbitkan buku setiap tahun, Koontz dijangka kekal berada dalam carta laris di pasaran.

7. Janet Evanovich

WALAUPUN berjaya menjual lebih 20 juta naskhah setiap tahun, Evanovich memperoleh RM48 juta tahun lalu, sebenarnya mula menulis pada usia 40 tahun dengan 16 novel Evanovich berada dalam carta jualan laris di pasaran.

Rutin penulisan Evanovich sangat ketat iaitu menulis lapan jam sehari dan 12 jam pada hujung minggu, memilih menulis dalam genre romantis, di samping khabarnya novelnya, Stephanie Plum bakal diadaptasi ke filem hujung tahun ini dengan Reece Witherspoon dan Katherine Heigl dikatakan antara calon watak utama.

8. John Grisham

BEKAS peguam ini tidak lari jauh daripada latar akademiknya dan dengan novel genre thriller kepeguaman, dia memperoleh RM45 juta tahun lalu.

Novel karya Grisham mula memikat pembaca sejak 1989 dan hingga kini 16 filem sudah dihasilkan berdasarkan drama mahkamah tulisan Grisham.

Ketika menulis A Time To Kill, Grisham memulakan rutin penulisannya bermula jam 5 pagi, namun usaha itu tidak memikat penerbit apabila naskhah awalnya ditolak, tetapi peristiwa itu tidak menyebabkan dirinya berputus asa.

Grisham kemudiannya meninggalkan kerjaya sebagai peguam dengan menjadi penulis sepenuh masa dan sehingga kini 250 juta novelnya terjual di seluruh dunia.

9. Nicholas Sparks

SPARKS adalah muka baru dalam carta laris di pasaran dan tahun lalu beliau memperoleh RM42 juta dengan dua bukunya akan difilemkan tahun ini mungkin melonjakkan kedudukannya pada tahun depan, selain enam novelnya sudah difilemkan termasuk The Notebook.

Pengarang ini memulakan kerjaya penulisan sejak 1985 ketika masih bersekolah, namun, waktu itu beliau gagal menarik perhatian penerbit.

Sparks pernah memasuki sekolah perundangan, tetapi hanya separuh jalan sebelum bekerja sebagai ejen hartanah dan menjual peralatan perubatan melalui telefon, selain The Notebook yang muncul pada 1996 benar-benar mengubah kehidupannya.

10. JK Rowling

TERKENAL dengan siri ahli sihir muda, Harry Potter, Rowling cukup mengagumkan dan pengiktirafan seluruh dunia terhadap karyanya itu memungkinkan 400 juta naskhahnya itu dijual dengan mudah.

Huruf JK pada hadapan nama Rowling sebenarnya adalah idea penerbit yang bimbang dengan kedudukan Rowling sebagai penulis wanita yang lazimnya gagal menembusi pasaran buku remaja yang dikuasai remaja lelaki.

Bagaimanapun, buku ini bukan saja memikat remaja lelaki, tetapi juga perempuan sehingga difilemkan dan menambah kekayaan Rowling, selain publisiti untuk novelnya membolehkan Rowling disifatkan sebagai seorang daripada selebriti terkaya lagi berpengaruh di Britain.

1 ulasan:

  1. Saya juga penulis pelbagai genre dan beberapa buku karya saya sudah diterbitkan, namun masih belum dapat menandingi 10 pengarang ngetop itu. Mungkin kerana jadual penulisan saya belum cukup ketat. Pun mungkin juga karya saya belum mencapai taraf sastera. Maknanya perlu belajar dengan lebih tekun dan perbanyakkan lagi karya. Sama-samalah kita berlumba-lumba ke arah itu...

    BalasPadam