Jumaat, Disember 10, 2010

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan lanjutan kepada entri Apa Itu Teknik KJ? (KJ Method).

Sekiranya Tuan/Puan belum membaca entri itu, penulis mengalakkan Tuan/Puan membacanya terlebih dahulu. Hal ini akan memudahkan lagi kefahaman terhadap entri berikutnya ini.

Kaedah KJ Untuk Buku Fiksyen

Entri ini merupakan satu strategi menulis sebuah cerita/novel yang penulis gabungkan melalui bengkel Teknik KJ dan pembacaan buku-buku panduan menulis fiksyen yang lain. Jika para pembaca merasakan strategi ini sangat tidak logik dan boleh mendatangkan kesukaran, maka ubahlah bahagian-bahagian yang dirasakan perlu agar formula ini sesuai untuk diri masing-masing.

Andaikan kita mahu menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan (60 hari). Fiksyen yang mahu kita tulis pula setebal 400 muka surat.

Anggarkan bilangan babak/peristiwa (scene) yang mahu kita tuliskan dalam novel itu. Pemilihan babak/peristiwa bertujuan memudahkan novel kita dijadikan filem/drama/teater di masa hadapan.


Katakan kita memilih 60 peristiwa berbeza.

Dapatlah kita anggarkan dalam setiap peristiwa, anggaran muka surat ialah 6 - 7 muka surat. Dengan jumlah ini, kita dapat menulis sebuah novel dalam tempoh masa dua bulan. Setiap hari, kita perlu menulis 6 - 7 muka surat sahaja (1 peristiwa).

Bagaimana Mendapatkan 60 Peristiwa Ini?

Keluarkan 60 kad indeks berbeza dan tuliskan satu peristiwa bagi setiap kad, sehingga cukup 60 kad. Contohnya, pada kad pertama, watak hero menaiki kapal terbang dan terjumpa bekas tunangnya di dalam penerbangan itu.

Kad kedua pula mewakili peristiwa perbualan hero dan bekas tunangnya itu. Kad ketiga pula menunjukkan hero sudah sampai ke destinasi dan terus menuju ke hotel.

Teruskan menulis 60 peristiwa sehingga selesai. Peristiwa ini tidak semestinya melibatkan watak utama sahaja. Ia juga boleh melibatkan watak sampingan, watak antagonis, watak protagonis yang lain. Usah fikirkan logik dan kronologi peristiwa-peristiwa ini.

Tulis sehingga siap.

Susun Kad Indeks

Aturkan 60 kad indeks ini di hadapan kita. Susunkan kembali semua kad ini mengikut cerita yang kita mahukan. Susunannya tidak sama seperti yang asal. Mungkin kad pertama sekarang adalah penampilan watak hero sebelum beliau menaiki kapal terbang terbabit. Kad kedua pula mungkin memperkenalkan watak heroin dari situasi lain pula.

Contoh susunan kad indeks (Source)

Setelah selesai, bolehlah disalin ke dalam komputer. Untuk setiap satu babak, gunakan satu fail. Di dalam komputer kita kini, sudah ada 60 fail berbeza.

Apabila menulis kelak, pilihlah mengikut kesukaan hati sendiri pada hari terbabit. Tidak semestinya menulis mengikut susunan fail.

Kaedah KJ memudahkan kita mengalirkan kreativiti dan menumpaskan fenomena 'writers block' kerana penulis sudah merancang penulisannya terlebih dahulu, walaupun susunannya tidak linear.

Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen.

Isnin, Disember 06, 2010

Apa Itu Teknik KJ? (KJ Method)

Ketika menghadiri bengkel KJ Method kelolaan PTS baru-baru ini, kami didedahkan dengan sejarah teknik KJ dan aplikasinya kepada penulis. Teknik KJ adalah satu teknik berfikir untuk menyelesaikan masalah secara kreatif. Teknik ini mengambil singkatan kepada nama penciptanya, Kawakita Jiro. Beliau merupakan seorang tokoh kreativiti Jepun.

Apabila kita menyelesaikan sesuatu masalah, kita tidak semestinya perlu mengikut aturan berfikir linear dan logik yang ketat seperti kebiasaannya. Namun, bidang-bidang seperti Matematik sememangnya memerlukan teknik berfikir secara linear.

Dengan menggunakan KJ Method, kita dapat melontarkan cadangan penyelesaian dari mana-mana aturan yang kita mahu. Contoh seterusnya memudahkan pemahaman kedua-dua teknik berfikir ini.

Arahan : Senaraikan pakaian, objek, dan apa sahaja yang terlintas dalam minda Tetuan apabila melihat gambar di bawah ini :


Apabila menggunakan teknik berfikir logik dan linear, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Rambut perang gelap, pemuda Inggeris, baju lengan pendek berwarna putih, seluar denim, kasut dan gitar.

Apabila menggunakan teknik berfikir KJ, susunan jawapan kemungkinan seperti ini : Seluar denim, gitar, rambut, baju berwarna putih dan seterusnya.

Perbezaan kedua-dua sampel jawapan ini adalah pada cara jawapan/idea dilontarkan. Teknik KJ membolehkan kita melontarkan idea secara rawak tanpa perlu terikat kepada susunan/logik.

Kebaikan berfikir secara KJ adalah kreativiti tidak tersekat dan sentiasa ada banyak pintu masuk dalam mencari penyelesaian.

Apabila menggunakan teknik berfikir linear pula, jika kita buntu mencari idea hanya kerana tidak dapat mengenalpasti sesuatu perkara, seluruh aktiviti berfikir terhenti.

Natural kepada manusia

Teknik KJ adalah teknik berfikir natural sejak kecil. Kita sering melihat seorang kanak-kanak jika bermain, tidak memikirkan peraturan dan aturan untuk bermain.



Jika kita berikan permainan di atas kepada seorang kanak-kanak. Seketika kemudian, kita tunjukkan robot di atas kepadanya dan pinta dia membina robot itu menggunakan permainan itu.

Kebiasaannya, mereka akan mencuba dan mengambil apa sahaja peluang yang boleh untuk membina robot itu. Tiada aturan tertentu. (KJ Method)

Tetapi, orang dewasalah yang memberikan aturan kepada mereka supaya memasang bahagian badan terlebih dahulu, kemudian kepala, tangan dan sebagainya. (Linear)

Teknik KJ tidak menyekat kreativiti, justeru ia boleh diaplikasikan oleh para penulis untuk kerja-kerja penulisan.

Nota : Entri seterusnya berkenaan teknik KJ Method untuk buku non fiksyen dan KJ Method untuk buku fiksyen.

Nota : Bacaan lanjut berkenaan teknik ini : http://www.mycoted.com/KJ-Method

Sabtu, Disember 04, 2010

Pembinaan Profil Peribadi Karakter

Bacaan dan kajian ringkas menerusi internet dan buku-buku mendapati watak yang kuat dan 'hidup' menjadi kegemaran para pembaca. Hal ini juga dapat kita lihat dalam filem-filem, animasi mahupun teater. Watak memainkan peranan penting dalam memikat hati pembaca.

Watak Harry Potter (Penulis : JK Rowling), Kumpulan Wannababes (Penulis : AinMaisarah); menjadi contoh bagaimana karakter membawa bersama brand penulis, juga menjadi medium yang mengikat sekelompok pembaca dengan seseorang penulis.



Watak Jack Sparrow dalam filem Pirates of the Carribean.

Salah satu perkara yang dapat saya catatkan daripada senior-senior penulis yang lain ialah profil peribadi watak/karakter novel. Berikut ialah beberapa perkara penting yang boleh kita gunakan dalam membina profil peribadi setiap watak-watak utama kita. Untuk watak tambahan dan sampingan, profil lebih ringkas boleh digunakan.

Walaupun novel kita tidak menampilkan figura karakter tersebut, ia masih berguna ketika kita menjana imaginasi untuk penulisan. Ia juga berguna jika novel kita diadaptasi menjadi sebuah filem/drama/teater/animasi.

Watak Rebecca Blomwood dalam novel nukilan Sophie Kinsella.

Simpan kesemua data ini dalam satu fail untuk rujukan apabila diperlukan kelak.

  • Nama
  • Umur
  • Tinggi/Berat
  • Bentuk badan
  • Pakaian (pakaian kebiasaan watak)
  • Warna rambut dan gaya rambut
  • Kelainan pada wajah watak ini (khusus kepada watak ini sahaja)
  • Habit watak (menggaru kepala, mengigit kuku, minum kopi)
  • Tagline
  • Agama
  • Bangsa/Keturunan/Etnik
  • Latar belakang pendidikan
  • Latihan istimewa selepas tamat pendidikan
  • Pekerjaan
  • Pekerjaan terdahulu
  • Skil/Kelebihan
  • Jenis personaliti
  • Kekuatan
  • Kelemahan
  • Marah, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi rasa marah ......
  • Malu, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi perasaan malu ......
  • Takut, apabila terjadinya ......
  • Cara mengatasi perasaan takut ......
  • Falsafah kehidupan
  • Penyakit
  • Hobi
  • Makanan kegemaran
  • Buku kegemaran
  • Warna kegemaran
  • Sahabat baik
  • Sejarah keluarga
  • Penerangan mengenai tempat tinggal, keluarga dan status ekonomi
  • Impian watak
Senarai ini berubah-ubah bergantung kepada keperluan penulis dan cerita yang mahu dinukilkan.

Semoga bermanfaat.

Selasa, November 30, 2010

Great by 24


Pertama kali saya membaca buku ini ialah kira-kira empat tahun yang lalu. Lupakan kisah scam yang sering kedengaran di internet, mari kutip bait-bait baik yang terkandung dalam buku ini buat iktibar.

  • There is potential in everybody
  • Life is a journey of discoveries. The sooner we discover our talent and strength, the faster we can translate it into a success.
  • University life is not just about studying and exams.
  • Whenever you have and idea, seize it. If this idea keeps you awake at night excitedly, get to work quickly! It's bound to be a success. I always lie awake at night when an idea hits me. I will expand the idea in my mind and when I see it potential, my rocketing confidence will ensure that I see to its implementation the very next day. I've been generating ideas every day and working on them for the past 4 years, even during weekends.
  • My friends brand me a workaholic. To me, it's just an obsession. And obsession can be good. Montaigne, a Renaissance writer, once said that obsession is the wellspring of madness and genius.
  • Always dress excellently so you look rich and successful. You dont need designer suits to impress all. A well pressed shirt and coat plus a superbly shined pair of leather shoes will do the trick.
  • So how do we overcome lack of confidence at times? Compartmentalize is the answer. When you are out to meet clients, you leave your problems behind. The company could be facing a negative cash flow, but you still need to be in your coat and tie and your best confident look. Appointments are still on schedule, deals are waiting to be closed. You cannot let cash problems, operation issues and truckload of other problems cloud your mind.
  • Think of the big picture and move on. Store all the problems in one compartment somewhere inside you and dont let them out. Learn not to focus on them. Back in 1990s, Donald Trump had some financial problems and had no reason to go to one of his scheduled dinner functions. But he overcame the negative mindset and did go and was seated next to a banker. Things took a positive turn after that. Always compartmentalize problems and let confidence bring you through trying times.
  • Treat your organisation or company as the training ground or resource for compelling self development. At the same time, your employees will be players on your team, contributing to your growth and becoming a driving force for the company.
  • Get ISO certified.
  • What is your response time? When a client sends in a request for a quote, how long does it take you to respond?
  • Always have a core team.
  • R&D is one are that we often overlook.
  • I hear about the success of others worth admiring and I try to emulate them. I always listen to advice from the right person. I read.
  • First and foremost, constant reading is not a plus, but a must. You have to ready every day.

Itu sahaja buat masa ini. Bertemu dalam entri yang akan datang. Terima kasih.

Isnin, November 29, 2010

Ciri-Ciri Novel Fantasi

Puan Ainon Mohd melalui laman sesawang UNIKA, sudah menulis sebab musabab novel-novel fantasi tidak laku. Untuk membaca entri penuh berkaitan hal ini, mohon klik pada pautan ini : http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_ciri-ciri_novel_fantasi_yang_tidak_laku_dalam_pas/

Ciri-Ciri Novel Fantasi Yang Laku

Kontradiksi kepada ciri-ciri ini adalah seperti berikut :

(i) Novel itu tebal. Novel fantasi Harry Potter adalah novel yang tebal. Penulisnya mengambil masa dan fokus kepada penceritaan dan plot cerita. Plot yang tersusun kemas dan panjang menjadikan ia sedap dibaca dan puas dibaca. Apabila menulis novel fantasi, kita mesti menghasilkan novel yang tebal supaya pembaca berasa seronok.


(ii) Menggunakan teori familiariti dan sejarah untuk menyuntik minat pembaca ketika membaca. Cerita-cerita sejarah yang familiar kepada masyarakat negara ini, ditambah pula dengan penggunaan teknik berfikir kreatif, boleh menghasilkan sesuatu yang familiar dan difahami pembaca.

Paling penting, apa yang ditulis dalam novel, mempunyai interteks kepada fikiran pembaca. Barulah bercambah minat pembaca untuk mengikuti karya kita yang seterusnya. Cerita yang terlalu futuristik, boleh digunakan apabila nama penulis sudah benar-benar kukuh dan punya peminat tersendiri.

(iii) Gunakan nama yang mudah disebut, mudah diingati, mudah dieja kembali. Pembaca yang teruja dengan jalan cerita novel fantasi tertentu, teruja mahu berkongsi cerita novel itu kepada orang lain. Jika nama watak, judul dan latar kawasan novel itu susah untuk disebutkan, bagaimana pula pembaca mahu menyebarkan kewujudan novel kita?

Apabila menulis, penulis mesti berfikir dari sudut bisnes. Zaman ini adalah zaman penulis hidup dengan menggunakan royalti sepenuhnya. Hanya dengan berfikir dari sudut bisnes, kita dapat mengetepikan mitos yang kita guna pakai sebelum ini.

Rabu, November 24, 2010

Fungsi Sastera Masa Kini

Salah satu perkara yang sentiasa berada dalam ingatan adalah perihal fungsi sastera untuk membangunkan realiti baru (konstruktif) dan tidak lagi merakamkan realiti.

Kebanyakan novel-novel yang terbit berpuluh tahun lalu, melibatkan cara menulis dengan merakamkan realiti kehidupan. Isu-isu perceraian, bercinta tanpa restu ibu bapa, pergaduhan, sakit jiwa dan bermacam lagi dirakamkan kembali dalam bentuk tulisan berpuluh-puluh bab.

Kesan kepada pembaca tidak terlihat pada ketika itu. Ia dapat dilihat dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ke hadapan. Minda manusia penuh dan tepu dengan episod-episod duka yang mereka hadamkan berpuluh tahun lalu.

Peranan Penulis dan Sasterawan

Apabila kita menulis dan mengangkat penulisan sebagai satu medium berdakwah, ibadah dan kerja, wajarlah kita memikirkan isu-isu yang mahu kita angkat dalam penulisan kita.

Penulis mempunyai peranan besar untuk membangunkan realiti baru, mencipta harapan untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat, berpuluh-puluh tahun ke hadapan kelak.

Penulis kini boleh merencanakan isu-isu yang membangkitkan rahsia bahagia dan gembira yang sebenar dalam kehidupan. Kerana cinta merupakan satu elemen indah yang suci, cerita cinta seharusnya diangkat dan digarap indah serta manis selayaknya. Tiada lagi kisah cinta duka dan tidak patuh syariah.




Teknik Surah Yusuf

Teknik ini merupakan mazhab rasmi syarikat PTS. PTS merupakan salah satu penerbit yang aktif menerbitkan judul demi judul untuk mengisi ruang sastera yang membangunkan realiti baru. Penulis-penulis yang menulis fiksyen di bawah label PTS, menggunakan teknik ini dalam penulisan mereka.

Lanjut berkenaan teknik ini, boleh dibaca melalui blog Pengerusi Kumpulan Syarikat-Syarikat PTS sendiri, Puan Ainon Mohd. Klik di sini : http://sasteraislami.blogspot.com/

Entri seterusnya akan menerangkan serba sedikit faktor keindahan yang terkandung dalam Surah Yusuf yang diberi penekanan berulang kali dalam setiap bengkel berkaitan.

Selasa, November 23, 2010

Pasaran Novel Fantasi Malaysia


Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM) menerajui pasaran novel fantasi di Malaysia. Kewujudan peminat dan pembaca setia novel-novel tulisan Tuan Ramlee Awang Murshid menunjukkan bahawa ada pasaran dalam genre ini.

Disebabkan beliau kini merupakan big boy dalam genre ini, penulis baru yang mahu masuk bidang novel fantasi perlu terlebih dahulu mengenali ciri-ciri yang ada pada novel-novel beliau. Ciri - ciri yang berulang-ulang dan kekal dalam kebanyakan novelnya mungkin menjadi faktor kesukaan para pembaca.

Mengikut teori familiariti, kita cenderung untuk membeli produk yang sama dan membeli dari tempat yang sama kerana kita mahu mengelakkan risiko tersalah membuat keputusan. Apabila kita mengikut ciri-ciri novel RAM, kita menghasilkan buku-buku yang familiar dan tidak kontra langsung kepada novel-novel itu. Penulis baru boleh cuba menghidangkan sesuatu yang familiar (ciri-ciri yang hampir serupa) kepada peminat-peminat.

Jika penulis baru berjaya menggunakan kembali ciri-ciri tersebut, dan mengaplikasikannya dalam novel-novel sendiri, dapatlah penulis tersebut sama-sama menjual novel fantasi kepada pasaran peminat RAM.

Setelah nama penulis itu berjaya mendapat tempat dalam hati pembaca, barulah penulis cuba menyenaraikan ciri-ciri khusus yang membezakan hasil karya sendiri dengan karya novel fantasi yang lain. Untuk terus kekal sebagai player dalam genre ini pula, penulis perlu sentiasa membezakan karyanya dengan karya yang lain.

Strategi masuk pasaran dan strategi berlumba-lumba dalam pasaran nyata berbeza.

Kemas kini :

Ciri-ciri tersebut mesti familiar kepada pembaca tetapi tidak serupa sepenuhnya seperti ciri-ciri yang digunakan oleh penulis big boy. Tujuannya adalah untuk memberi sesuatu yang baru kepada pembaca dari penulis berbeza tetapi tidak lari jauh dari ciri-ciri kesukaan mereka.